3 inisiatif MCMC rangkul pengiktirafan ‘Champion Project’ di WSIS Prizes 2026

TIGA inisiatif yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengharumkan nama negara apabila menerima pengiktirafan ‘Champion Project’ di World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju pembangunan digital di peringkat global.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengiktirafan itu mencerminkan kepimpinan negara yang semakin menyerlah dalam memacu pembangunan digital yang inklusif, dipercayai dan berteraskan rakyat, selaras aspirasi Malaysia MADANI.

“WSIS Prizes yang dianjurkan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di bawah proses WSIS yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), merupakan antara pengiktirafan paling berprestij di dunia.

“Bagi edisi 2026, pertandingan berkenaan menerima rekod sebanyak 1,595 penyertaan daripada 122 negara serta lebih 2.2 juta undian, sekali gus menggambarkan tahap persaingan yang tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Tambah kenyataan itu, status ‘Champion Project’ diberikan kepada lima projek terbaik bagi setiap kategori Garis Tindakan WSIS yang dipilih menerusi proses penilaian dan undian awam global sebelum satu projek dipilih sebagai pemenang keseluruhan.

“Pemenang bagi setiap kategori dijadual diumumkan pada Majlis WSIS Prizes 2026 yang berlangsung di Geneva, Switzerland pada 9 Julai ini.

“Tiga inisiatif MCMC yang menerima pengiktirafan itu ialah ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform di bawah kategori Peranan Kerajaan dan Semua Pihak Berkepentingan dalam Menggalakkan ICT untuk Pembangunan, Human-Centered Digital Governance Through MCMC’s Five-Year Plan 2030 (FYP2030) bagi kategori Persekitaran yang Membolehkan dan Portal Sebenarnya.my bagi kategori Media,” katanya.

MCMC berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan tiga tonggak utama pembangunan digital negara iaitu membina bakat digital masa hadapan, memperkukuh tadbir urus digital yang dipercayai dan adaptif serta membentuk masyarakat digital yang berpengetahuan, berdaya tahan dan bertanggungjawab.

Menurut kenyataan itu, ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform dibangunkan melalui rundingan bersama negara anggota ASEAN, pihak industri dan pakar serantau bagi memperkukuh pembangunan ekonomi digital berasaskan teknologi 5G di rantau ini.

“Rangka kerja berkenaan yang diperakukan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) di Hanoi, Vietnam pada Januari lalu mengenal pasti 50 peranan pekerjaan kritikal, 211 kompetensi serta 12 jurang kemahiran utama dalam ekosistem 5G,” ujarnya.

Sementara itu, pengiktirafan terhadap pelan lima tahun MCMC pula mengiktiraf pendekatan Malaysia dalam membangunkan ekosistem komunikasi dan multimedia yang bersedia menghadapi generasi teknologi digital seterusnya. Pelan itu kini dikenali sebagai Pelan MCMC 2026–2030 (MCMC P2630).

Portal Sebenarnya.my pula diiktiraf atas peranannya dalam membanteras penyebaran maklumat palsu dan memperluas akses kepada maklumat yang sahih serta disahkan.

Pencapaian tersebut turut menandakan empat tahun berturut-turut inisiatif digital Malaysia menerima pengiktirafan di pentas WSIS selepas kejayaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Stingray II pada 2025, Program Advokasi dan Jangkauan Kampung Orang Asli Negeri Sembilan pada 2024 serta JENDELA pada 2023.

MCMC berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan dasar dan piawaian antarabangsa melalui penglibatan strategik bersama ITU, ASEAN serta pelbagai platform digital global lain.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img