KERAJAAN akan meneliti semula pelaksanaan kuota dalam program subsidi bersasar Budi Diesel MADANI, khususnya bagi memenuhi keperluan pengguna di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak susulan maklum balas yang diterima selepas pelaksanaannya bermula semalam.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam yang turut menyentuh pelaksanaan program berkenaan.
Menurutnya, menerusi Budi Diesel MADANI, rakyat Malaysia boleh menikmati pembelian diesel pada harga RM2.10 seliter dengan kuota asas sebanyak 200 liter, manakala pemilik kenderaan jenis pikap dan jeep boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter.
“Jemaah Menteri turut menerima beberapa pandangan dan maklum balas berhubung pelaksanaan program Budi Diesel MADANI khusus berkait kuota terutama bagi kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
“Kementerian Kewangan telah diminta untuk meneliti isu-isu yang dibangkitkan untuk perbincangan lanjut,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.






