PELAKSANAAN BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) secara automatik mulai semalam mampu membendung ketirisan bahan api subsidi itu terutama di kawasan sempadan negara serta Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung serta 300,000 lagi di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, sebelum ini pengguna termasuk di Sabah dan Sarawak menikmati harga diesel bersubsidi secara pukal, sekali gus membolehkan sesiapa sahaja membeli diesel pada harga subsidi tanpa pengesahan kelayakan.
“Mulai sekarang, hanya kenderaan diesel persendirian yang berdaftar di bawah sistem BUDI Diesel akan menikmati harga subsidi RM2.10 seliter.
“Secara tidak langsung, langkah ini akan membendung ketirisan terutama di kawasan sempadan di Sabah dan Sarawak kerana sebelum ini subsidi diberikan secara pukal,” katanya selepas meninjau pelaksanaan BUDI Diesel di Stesen Minyak Petronas di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru hari ini.
Fuziah berkata, penggunaan diesel di Sabah dan Sarawak adalah lebih meluas berbanding Semenanjung kerana bahan api itu digunakan secara meluas oleh kenderaan pacuan empat roda, pikap dan kenderaan utiliti yang menjadi pilihan utama penduduk, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Atas sebab itu, kerajaan sebelum ini mengekalkan subsidi diesel secara menyeluruh di Sabah dan Sarawak. Namun dengan pelaksanaan BUDI Diesel, subsidi kini disasarkan kepada pengguna yang benar-benar layak tanpa menjejaskan kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan sahaja memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasar, malah mengurangkan risiko penyeludupan dan penyalahgunaan diesel bersubsidi.






