LELAKI yang menjadi dalang dalam kes mengurung, memeras ugut, mencederakan serta memaksa seorang wanita berbogel sebelum merakam gambar dan video mangsa dipenjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Mustaqim Sukarno terhadap Mohd Zaidi Ramlan, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah atas semua empat pertuduhan yang dihadapinya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama dua lagi rakan sejenayah yang sebelum ini sudah dijatuhi hukuman didakwa mengurung wanita berusia 33 tahun itu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zaidi didakwa melakukan pemerasan terhadap mangsa sehingga memaksanya menyerahkan wang tunai RM4,200 dan sebuah telefon bimbit.
Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa merakam gambar dan video mangsa dalam keadaan bogel menggunakan telefon bimbit sebelum didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan menumbuk muka, badan, kaki, perut dan dada wanita itu berulang kali menggunakan tangan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Banang Heights, Batu Pahat antara jam 7 pagi hingga 11 pagi pada 13 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa datang ke rumah berkenaan selepas menerima panggilan daripada salah seorang suspek.
Sebaik tiba, mangsa dikurung selepas pintu rumah dikunci sebelum dipukul oleh tertuduh dan rakan-rakannya.
Mangsa kemudian dibawa ke sebuah rumah lain yang disewa rakan tertuduh sebelum diperas ugut sehingga menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit.
Selepas itu, mangsa dipaksa menanggalkan pakaian sebelum tertuduh bersama rakan sejenayahnya merakam gambar dan video mangsa dalam keadaan bogel.
Susulan siasatan, polis berjaya mengesan Mohd Zaidi di Rompin, Pahang selepas dia menyerah diri kerana gagal mendaftar kursus perkahwinan berikutan namanya berada dalam senarai individu dikehendaki polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).






