
JOHOR akhirnya memperoleh manfaat yang lebih besar sebaik sahaja Datuk Onn Hafiz Ghazi dilantik sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, walaupun Datuk Seri Ir Hasni Mohammad merupakan ‘poster boy’ ketika itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Hasni ialah seorang pemimpin yang baik, berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk Johor serta merancang pelbagai pembangunan bagi negeri itu.
Bagaimanapun katanya, pelantikan seseorang sebagai Menteri Besar tertakluk kepada perkenan Sultan Johor.
“Ketika itu Hasni menjadi seorang pemimpin yang baik. Saya akui perkara itu. Tetapi atas perkenan Tuanku, Onn Hafiz telah dipilih sebagai Menteri Besar yang baharu,” katanya mengimbas kembali bagaimana Hasni mengetuai BN menghadapi PRN itu sebagai calon Menteri Besar BN.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berucap pada program Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Santunan Kasih Kejora anjuran Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Pengerang hari ini.
Hasni merupakan ‘poster boy’ BN pada PRN Johor 2022 dan dijangka kekal sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan itu menang.
BN kemudiannya mencatat kemenangan besar, namun Onn Hafiz dilantik sebagai Menteri Besar.
Timbalan Perdana Menteri turut mengibaratkan keadaan itu seperti membeli-belah secara dalam talian apabila seseorang memesan satu barangan tetapi menerima barangan lain yang lebih baik.
“Dengan teknologi moden, kita tidak perlu lagi ke pusat beli-belah untuk membeli barang. Kita boleh membeli secara dalam talian. Saya pesan satu barang, tetapi barang lain pula yang sampai. Barang yang sampai itu lebih baik daripada barang yang saya pesan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Onn Hafiz telah menunjukkan kepimpinan yang kukuh sejak beliau memegang jawatan itu.
Katanya, walaupun kesinambungan pentadbiran penting, pelantikan Menteri Besar juga perlu menghormati peranan Sultan Johor seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.






