Kes pukul banduan: Lima wadar dihadapkan ke mahkamah esok

LIMA wadar Penjara Taiping akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, Perak, esok atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga banduan dalam kejadian pada Januari tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, keputusan mendakwa kelima-lima wadar itu dibuat selepas Jabatan Peguam Negara mengembalikan kertas siasatan pada 29 Jun lalu dengan arahan supaya pertuduhan difailkan.

Beliau berkata, seorang wadar akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

“Dua lagi wadar akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana dengan niat bersama sengaja menyebabkan kecederaan.

“Dua lagi pula akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana dengan niat bersama sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

“Pertuduhan akan dibuat pada 3 Julai 2026 jam 9 pagi di Mahkamah Majistret Taiping,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pertuduhan itu membabitkan tiga banduan yang mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini seorang wadar penjara telah didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada 19 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh susulan insiden sama yang mengorbankan seorang banduan.

Sehubungan itu, Kumar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau memanipulasi fakta memandangkan prosiding mahkamah akan bermula serta menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img