Konon buka akaun untuk gaji, rupanya mangsa keldai akaun sindiket RM2.4 juta

SEORANG lelaki mendakwa menjadi mangsa sindiket pekerjaan selepas identitinya disalahgunakan untuk membuka syarikat dan akaun bank yang dipercayai digunakan bagi memindahkan wang hasil penipuan berjumlah lebih RM2.4 juta.

Jay, 26, berkata, semuanya bermula apabila dia menerima tawaran bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan daripada sebuah syarikat yang menyediakan penginapan dan latihan selama seminggu.

Menurutnya, sepanjang tempoh latihan, dia diarahkan membuka akaun bank kononnya bagi tujuan pembayaran gaji sebelum dibawa ke beberapa bank kerana permohonan terdahulu didakwa tidak berjaya.

“Saya mula rasa pelik apabila beberapa permohonan pembukaan akaun kononnya tidak diluluskan. Saya mahu berhenti, tetapi mereka menghalang dan meminta saya meneruskan latihan sehingga tamat.

“Selepas tamat latihan, mereka menyuruh kami pulang dan memaklumkan telefon bimbit akan dihantar sebelum kami dipanggil bekerja. Namun selepas itu semua nombor yang dihubungi tidak lagi dapat dihubungi,” katanya pada sidang media di pejabat MHO, Megan Avenue, Kuala Lumpur hari ini.

Jay berkata, dia kemudian mengambil inisiatif menjejaki individu terbabit sebelum mendapati sebuah syarikat didaftarkan atas namanya tanpa pengetahuan.

Katanya, semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut membawa kepada setiausaha syarikat berkenaan yang memaklumkan dirinya juga pernah ditahan berkaitan kes sama.

Lebih mengejutkan, beliau mendakwa namanya turut digunakan untuk mendaftar dua akaun perkhidmatan internet sehingga dikenakan tuntutan kira-kira RM14,000 bagi penamatan kontrak, selain beberapa akaun bank yang dibuka tanpa kehadirannya.

Menurutnya, hasil semakan mendapati akaun syarikat yang didaftarkan atas namanya dipercayai digunakan sindiket untuk memindahkan wang berjumlah kira-kira RM2.4 juta, sekali gus menjadikannya mangsa keldai akaun.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishammuddin Hashim berkata, pihaknya akan membantu mangsa membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi membolehkan siasatan dijalankan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img