Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) menempuh perjalanan sejarah yang panjang bermula pada 7 Jun 1950 selepas 17 buah syarikat kerjasama kampung bersatu menubuhkan Co-opbank Persatuan yang pada ketika itu dikenali sebagai “The Province Wellesley Co-operative Banking Union Limited”.
Dari situ namanya sering berubah mengikut perkembangan semasa. Pada 4 Mac 1970 dikenali sebagai Koperasi Bank Persatuan Bekerjasama-Sama Seberang Prai Tanggungan Berhad, dikenali pula sebagai Koperasi Bank Persatuan Kerjasama Seberang Perai Berhad pada pada 26 April 1982 ia dikenali, seterusnya sebagai Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad pada 5 April 1995.
Tidak terhenti di situ, bank koperasi itu terus berkembang apabila ditukar kepada Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad pada 15 September 2014 dan seterusnya pada 13 September 2018 dikenali sebagai Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) hingga kini.
Dalam wawancara bersama UtusanMelayuPlus, Ketua Pengurusan Kewangan CBP, MOHAMMAD FADZLI MOHAMMAD HASHIM memaparkan kepada Wartawan Alani Nizam dan Juruvideo, Nurul Shafina Jemenon berhubung tarikan terbaru produk dan perkhidmatan bank tersebut.
BOLEH kongsikan secara ringkas fungsi dan Co-opbank Pertama (CBP) serta apakah produk dan perkhidmatan ditawarkan?
MOHAMMAD FADZLI : Co-opbank adalah salah satu bank koperasi berlandaskan syariah. Kita menawarkan produk sama seperti mana bank komersial yang lain kepada pelanggan. Kami menawarkan produk berasaskan fee ataupun fee based product melalui Jabatan Perancangan Kewangan yang bekerjasama dengan rakan strategik. Ada produk takaful, ada produk perancangan legasi. Tahun ni kita baru venture produk baru iaitu emas.
Di Ibupejabat CBP, kita sediakan vending machine untuk jual emas. Pelanggan boleh mendapatkan emas melalui mesin itu.
Produk lain yang CBP tawarkan adalah mengikut demografi kami seperti kelompok pasaran umum (mass market) – M40 dan B40. Tetapi ada juga pelanggan yang berkemampuan dari segi kewangan (mass affluent), contohnya T-20.
Bagaimanapun kami fokus kepada mass market terlebih dulu. Tujuan produk kami adalah pertama, untuk mereka merancang kewangan dan kedua, bagi mitigasi risiko kehilangan pendapatan kalau terjadi apa-apa. Produk kita dalam kategori mampu milik.
Ketika ini ada berapa cawangan CBP?
MOHAMMAD FADZLI : CBP ada 34 cawangan seluruh negara. Lebih kurang di setiap negeri ada tiga cawangan.Kita juga ada sebuah outlet Ar Rahnu di Gombak.
Mungkin boleh terangkan dengan lebih lanjut berkaitan perkhidmatan takaful dan perancangan kewangan di CBP?
MOHAMMAD FADZLI : Produk kami adalah daripada takaful. Rakan strategik daripada takaful industri. Ada juga produk perancangan legasi. Rakan strategik pun daripada pengurusan amanah.
Takaful yang kita tawarkan berbeza daripada takaful berkaitan perlindungan kemalangan ataupun takaful yang mempunyai tempoh matang sehingga umur 80 tahun.
Di samping itu kita ada travel takaful dan takaful untuk kenderaan. Kita juga ada perkhidmatan memperbaharui cukai jalan dan takaful kenderaan, kita ada one-stop centre iaitu melalui portal saja.
Sememangnya dari segi takaful berkaitan kemalangan dan perubatan, ramai yang tahu, tetapi ramai yang kurang cakna atau mengetahui mengenai penulisan wasiat dan amanah pusaka. Boleh ceritakan mengenai perkara itu?
MOHAMMAD FADZLI: Wasiat dan amanah pusaka, ia di bawah segmen perancangan legasi. Umum tahu pasal wasiat, cuma ada sedikit ketidakfahaman dalam kalangan pelanggan.
Wasiat cuma diambil secara asas sahaja. Maksud saya, ambil wasiat, isi borang, hantar. Di CBP, kita tawarkan produk wasiat. Ada wasiat asas, ada wasiat komprehensif. Wasiat asas RM500 sekali masuk. Wasiat komprehensif, kita panggil buat label wasiat RM750.
Kita akan menasihatkan pelanggan untuk ambil. Mereka akan senaraikan hasrat dan wasiat yang mahu disempurnakan. Apabila peserta meninggal dunia, pengurusan legasi atau kalau saya boleh namakan, Rakyat Trustee Berhad dengan My Angkasa Amanah Berhad akan mengambil dokumen itu dan melaksanakan wasiat tersebut. Itu bahagian pertama pelaksanaan wasiat. Tapi ada satu lagi bahagian untuk melaksanakan wasiat yang perlu ada modal dan dana.
Ramai yang tak tahu, apabila sudah ambil (produk) wasiat, nanti mahu melaksanakannya perlu ada wang dalam RM20,000 hingga RM30,000, ia bergantung kepada peserta. Kalau aset dalam RM1 juta atau RM2 juta, mereka perlukan lebih kurang RM30,000 hingga RM50,000 pendahuluan yang kita nak kena bayar kepada pentadbir wasiat untuk sempurnakan wasiat. Itu adanya Amanah Pusaka.
Amanah Pusaka menyediakan dana, tabung untuk pelanggan kami menyempurnakan dan laksanakan wasiat.
Waris tidak perlu keluarkan duit daripada simpanan mereka, ataupun tidak perlu potong daripada aset yang ditinggalkan. Amanah Pusaka adalah compliment kepada produk wasiat sedia ada. Tak banyak institusi kewangan yang tawarkan kombinasi produk seperti CBP. Kita cuba bantu waris untuk memudahkan proses pentadbiran .
Boleh terangkan mengenai kempen fee base bonanza?
MOHAMMAD FADZLI : Kempen fee based bonanza adalah salah satu cara CBP mempromosikan produk-produk perancangan kewangan kami seperti takaful, wasiat dan Amanah Pusaka. Apabila orang ramai melanggan produk perancangan kewangan, mereka berpeluang untuk menang hadiah, kita tawarkan dalam bentuk cabutan bertuah.
Terdapat tiga plus satu (3+1) cabutan bertuah untuk pelanggan yang melanggan produk perancangan kewangan bermula 1 April lalu hingga 31 Mac 2027.
Cabutan pertama pada Ogos nanti, maksudnya pelanggan yang masuk bulan April sehingga Julai, cabutan akan dibuat pada Ogos. Walaupun seseorang pelangan itu sudah menang cabutan pada bulan tersebut, dia masih berpeluang untuk menang cabutan utama pada bulan Mei 2027.
Bagaimana seseorang peserta mahu menyertai cabutan tersebut?
MOHAMMAD FADZLI : Kita melaksanakan satu lagi kempen yang menyokong fee based bonanza iaitu wealth day. Pelanggan melanggan produk dan perancangan kewangan yang sama, tetapi mereka membelinya pada setiap hari Rabu akhir bulan.
Kita panggil hari itu hari wealth day. Siapa yang langgan produk perancangan kewangan pada hari wealth day, mereka berpeluang menang hadiah yang ditawarkan dan hadiah fee based bonanza juga.
Kita tawarkan Perlindungan takaful CBP serendah RM80 setahun, selain takaful CBP Idaman Plus dengan bayaran serendah RM50 sebulan. Kita senaraikan produk-produk tu di dalam flyers yang kita kongsi di cawangan dan juga di media sosial. Pelanggan boleh rujuk kepada flyers tersebut.
Selain motosikal Modernas, apa lagi hadiah menarik ditawarkan sepanjang kempen itu?
Hadiah pertama ialah Proton e-mas. Mereka juga berpeluang menang barang kemas Habib Jewel bernilai RM10,000 dan ada lagi hadiah lain seperti peralatan elektronik dan gadget-gadget. Kita segmenkan hadiah kita. Untuk Gen Z dan milenial ada hadiah gadget manakala dewasa ada hadiah seperti motosikal dan kereta.
Apakah yang CBP harapkan melalui kempen tersebut?
MOHAMMAD FADZLI : Selain daripada pelanggan sedia ada, kami mahu memperluaskan produk kepada golongan muda terutama produk perancangan kewangan dan berharap juga ada pelanggan dari bank lain datang ke CBP kerana kami pun ada apa yang ditawarkan di bank lain.






