‘’Ini kempen tidak sihat’’ – Fahmi kecam tindakan sabotaj sebar maklumat palsu

PENGARAH  Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil  mengecam tindakan sabotaj dan penyebaran maklumat palsu ketika berkempen yang disifatkan mencemarkan proses demokrasi.

Katanya, beberapa insiden yang berlaku sepanjang kempen menunjukkan wujudnya amalan tidak sihat, termasuk vandalisme terhadap bahan kempen calon.

“Baru-baru ini, bendera kempen dibakar, papan iklan yang dipasang dirosakkan. Ini menandakan satu fasa dalam kempen yang tidak sihat,” katanya kepada wartawan selepas berceramah di Bakri malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi turut membangkitkan penyalahgunaan platform digital, termasuk kewujudan akaun WhatsApp palsu yang menggunakan gambar calon untuk menyebarkan maklumat tidak benar.

Sehubungan itu, Fahmi mengingatkan pengundi supaya tidak mudah mempercayai setiap maklumat di media sosial atau aplikasi pesanan, sebaliknya membuat semakan terlebih dahulu.

Sementara itu, polis Johor membuka lapan kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya sepanjang enam hari tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang bermula pada 27 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, daripada jumlah itu, lima kertas siasatan dibuka bagi tempoh antara 29 Jun hingga Khamis.

“Satu kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api, manakala dua lagi kes disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Selain itu, terdapat dua kes lagi disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerugian harta benda.

“Secara keseluruhan, situasi keselamatan di seluruh negeri sepanjang proses pilihan raya ini berlangsung berada dalam keadaan aman dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ab Rahaman berkata, Polis Johor turut menerima sebanyak 2,037 permohonan permit secara kumulatif bagi penganjuran aktiviti dan program kempen sepanjang tempoh 27 Jun hingga Khamis.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 1,849 permohonan telah diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Polis Johor akan terus memantau situasi keselamatan sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan proses PRN Johor Ke-16 berlangsung dengan aman, lancar dan mematuhi undang-undang,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img