Menara komunikasi komersial Kampung Semaru terbakar

SEBUAH  menara komunikasi komersial milik Sacofa Sdn. Bhd. di Kampung Semaru, Padawan, Kuching terbakar jam 6 petang pada Rabu lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, kira-kira 1,000 pengguna di sekitar Kampung Semaru, Kampung Biya Parang, Kampung Sapit, Kampung Kiding, Kampung Pesang dan Kampung Subang terjejas akibat kebakaran tersebut.

‘’Pengguna di kawasan terlibat dijangka mengalami gangguan perkhidmatan komunikasi, termasuk kemerosotan liputan rangkaian serta sambungan yang tidak konsisten. Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa,’’ kata MCMC dalam kenyataan.

Sejurus kejadian dikenal pasti MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan yang terlibat supaya melaksanakan langkah mitigasi dengan segera, termasuk mengoptimumkan liputan rangkaian sedia ada di kawasan berhampiran serta mengoperasikan Portable Base Transceiver Station (PBTS) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan komunikasi sementara menunggu infrastruktur yang terjejas dipulihkan sepenuhnya.

‘’Sepanjang tempoh pemulihan, pengguna yang terjejas disarankan memanfaatkan kemudahan di NADI Kampung Darul Islam Belimbing, NADI Kampung Bengoh dan NADI Kampung Braang Bayur untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan komunikasi serta kemudahan digital yang berkaitan.

‘’MCMC akan terus memantau perkembangan situasi dan bekerjasama rapat dengan Sacofa Sdn. Bhd., penyedia perkhidmatan serta agensi berkaitan bagi memastikan usaha pemulihan dilaksanakan dengan lancar, sekali gus mempercepatkan pemulihan perkhidmatan komunikasi kepada pengguna yang terjejas,’’ kata MCMC.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img