SEORANG maut apabila bot yang dinaiki bersama 11 yang lain karam ketika mencandat sotong kira-kira sembilan batu nautika dari Dataran Kuala Nerus, Kuala Terengganu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, bot yang membawa 12 individu termasuk tekong dilaporkan karam ketika berada di tengah laut.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Ahmad Nasaruddin Mohmad Jalil, 36, iaitu kru bot berkenaan.
“Selain seorang yang disahkan meninggal dunia, tiga individu mengalami kecederaan manakala lapan lagi penumpang bersama tekong bot terselamat,” katanya lapor Buletin TV3.
Menurut Azli, sebaik menerima laporan kira-kira jam 9.02 malam, operasi mencari dan menyelamat digerakkan melibatkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Kementerian Kesihatan.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jeti Tok Batin, Seberang Takir sebelum dihantar ke Hospital Sultan Zainal Abidin untuk proses bedah siasat.
“Ketiga-tiga mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.






