SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di kawasan jejambat ASPA Cottage, Kuantan, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.18 malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.18 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Zahidan Nor, 46, dari Kampung Cherating disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, seramai 13 anggota termasuk Ketua Balai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah van Urvan dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan mangsa dipercayai terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter.
“Operasi menyelamat dijalankan menggunakan teknik High Rope Rescue dengan dua anggota diturunkan ke dalam gaung sebelum mangsa dibawa naik menggunakan pengusung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan tangan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, operasi menyelamat berjaya diselesaikan selepas mangsa dibawa keluar dari kawasan gaung dan keadaan di lokasi dipastikan selamat.






