‘’Saya mungkin tak cerdik tetapi …’’– Onn Hafiz jawab Anwar

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kenyataan beliau berhubung Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bukan bertujuan mencela mana-mana pihak.

Sebaliknya, kata beliau, ia bagi memastikan setiap kenyataan berkaitan inisiatif strategik negeri melibatkan Kerajaan Persekutuan dibuat berasaskan fakta yang tepat.

Melalui Facebook beliau, Onn berkata, kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menuntut setiap kenyataan dibuat bersandarkan maklumat yang tepat bagi mengelakkan kekeliruan kepada rakyat dan pelabur.

Berikut kenyataan penuh Onn Hafiz:

Ya, saya sedar saya bukan bertaraf Perdana Menteri. Namun, dengan penuh hormat saya berpandangan, apabila seseorang berada di kedudukan sebagai pemimpin nombor satu negara, setiap kenyataan yang dibuat mesti berasaskan fakta yang tepat.

Agak tidak sesuai apabila seorang Perdana Menteri memberikan gambaran yang tidak tepat berhubung Dokumen Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Hakikatnya, Pelan Induk JS-SEZ ini adalah dokumen Kerajaan Malaysia. Ia tidak memerlukan kelulusan Kerajaan Singapura, sebaliknya hanya proses libat urus serta maklum balas daripada pihak Singapura, dan proses itu telah pun selesai. Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Sebab itu saya berpandangan, apabila Perdana Menteri menyatakan seolah-olah pelan induk ini masih perlu menunggu persetujuan pada Leaders’ Retreat, dan seterusnya memerlukan tandatangan Perdana Menteri dari kedua belah pihak, kenyataan itu tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

Saya membangkitkan perkara ini bukan bertujuan untuk mencela atau menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya, ia merupakan tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap inisiatif strategik yang membawa manfaat kepada Johor dilaksanakan mengikut jadual dan dipercepatkan, selain terus memberikan kepastian dan keyakinan kepada para pelabur.

Ramai pelabur yang bertanya dan menantikan pelancaran pelan induk ini. Ia akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur di JS-SEZ di mana limpahan manfaatnya juga akan dirasai oleh Kerajaan Pusat untuk kebaikan Bangsa Johor dan rakyat Malaysia.

Pada pandangan Perdana Menteri, saya mungkin tidak cerdik tetapi lagi merisaukan jika Perdana Menteri dilihat tidak teliti dan cerdik dalam membuat kenyataan yang tidak tepat. Ia memberi kesan bukan sahaja pada rakyat Malaysia dan Bangsa Johor tetapi juga buat pelabur yang telah dan berpotensi melabur di JS-SEZ ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img