SEORANG wanita rentung selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri ketika kebakaran memusnahkan sebuah rumah di Kilometer 23, Jalan Tebedu, Kampung Tubih Batu Raung, dekat Kuching, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.29 tengah malam itu, mangsa, Nurul Farhana Amerudin, 37, ditemukan rentung di ruang tandas rumah, manakala ibunya, Sharifah Bok Wan Muhsin, 65, melecur tahap dua pada 38 peratus anggota badan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.29 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian, dengan bantuan BBP Siburan, digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata, jentera bomba tiba pada jam 12.52 tengah malam dan mendapati rumah setingkat berkenaan sedang marak serta terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman membabitkan 18 anggota dari BBP Serian dan BBP Siburan, manakala kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.15 pagi.
“Mangsa yang cedera telah dihantar penduduk kampung ke Hospital Serian sebelum ketibaan bomba dan disahkan mengalami lecur tahap dua pada bahagian muka, leher, belakang badan, tangan serta tapak kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mayat Nurul Farhana ditemui dalam keadaan rentung di ruang tandas rumah sebelum dikeluarkan dengan bantuan polis dan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.45 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api,” katanya.






