BEBERAPA laluan utama di sekitar Jalan U Thant akan ditutup sementara bermula Isnin ini hingga 31 Januari 2027 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan pipe jacking (paip bawah tanah).
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, penutupan itu membabitkan laluan keluar dari Jalan U Thant ke Jalan Tun Razak berhampiran Regal House serta laluan masuk dari Jalan Tun Razak ke Jalan Langgak Golf berhampiran Kedutaan Iraq.
Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh berkenaan Jalan Langgak Golf akan dijadikan laluan sehala bagi pergerakan keluar menuju ke Jalan Tun Razak.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dari arah Jalan Tun Razak yang ingin menuju ke Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf disaran menggunakan Jalan U Thant sebagai laluan masuk.
“Bagi pengguna dari kawasan Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf yang ingin menuju ke Jalan Tun Razak pula, mereka diminta menggunakan Jalan Langgak Golf sebagai laluan keluar,” katanya dalam kenyataan.
DBKL menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan sepanjang tempoh pelaksanaan projek itu.
“Pengguna jalan raya juga diminta mematuhi papan tanda serta arahan trafik yang disediakan, menggunakan laluan alternatif mengikut Pelan Pengurusan Trafik selain memandu dengan berhati-hati ketika melalui kawasan pembinaan,” tambah kenyataan itu.
Menurut DBKL, kerjasama dan kesabaran semua pengguna jalan raya amat dihargai bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dengan lancar, selamat dan mengikut jadual.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada pihak berkaitan di talian 012-264 2310.






