
BARISAN Nasional (BN) tidak pernah mengkhianati sesiapa atau mana-mana parti apabila membuat keputusan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Sebaliknya, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, BN hanya berhasrat untuk mempertahankan kerajaan negeri yang ditubuhkan sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Justeru, beliau berkata, tanggapan sesetengah pihak bahawa BN adalah pengkhianat adalah tidak benar.
“Kerajaan negeri Johor adalah kerajaan Barisan Nasional yang ditubuhkan sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Ini memperlihatkan bahawa jika ada pihak yang menuduh bahawa kita cuba khianat, jangan risau. Kita tidak mengkhianati sesiapa.
“Tetapi kita mempertahankan Kerajaan Johor di bawah kepimpinan parti-parti komponen Barisan Nasional.
“Inilah hasrat kita untuk memenangkan Perling supaya Perling turut menyumbangkan satu kerusi tambahan untuk Dewan Undangan Negeri di Johor ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dengan Masyarakat India di Perling Mall, Johor Bahru, malam tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi BN Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan calon BN bagi DUN Perling, Pannir Selvam.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut menyeru rakyat Johor, termasuk masyarakat India menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk terus mentadbir negeri Johor bagi penggal berikutnya.
Menurutnya, dalam tempoh empat tahun lebih mentadbir Johor, Onn Hafiz telah menunjukkan dedikasi yang tinggi bukan sahaja dalam membangun dan memajukan negeri, malah meningkatkan kesejahteraan rakyatnya.
“Beliau adalah seorang anak muda, yang berdedikasi, seorang yang berkemampuan telah mentadbir negeri Johor selama 4 tahun, kita beri mandat semula untuk penggal yang akan datang supaya beliau terus mentadbir negeri Johor. Beliau telah melakukan yang terbaik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua jentera parti komponen BN supaya berusaha lebih gigih menemui pengundi dan meraih undi bagi memenangkan semua 56 calonnya.
Menurutnya, dengan kerja kuat semua jentera parti komponen serta sokongan parti-parti Friends of BN, kemenangan 40 kerusi yang diraih pada PRN Johor 2022 bukan sahaja mampu dipertahankan, malah ditambah dalam PRN kali ini.
Tegasnya, dengan adanya kerajaan BN Johor yang kuat dan stabil akan mampu menarik lebih banyak pelaburan asing serta pelbagai perancangan dapat dilaksanakan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat.






