‘Ada parti politik tak senang dan nak jatuhkan saya’ – Anwar

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat parti politik yang berpakat mahu menjatuhkannya kerana kerajaan pimpinannya tegas dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri berkata, pentadbiran Kerajaan MADANI yang tidak berkompromi dengan amalan mencuri wang rakyat atau menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi menjadi faktor yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pihak tertentu.

“Sebab itu tuan-tuan tahu sekarang, semua parti pakat mahu jatuhkan saya. Kenapa? Sebab dia tahu kita ‘strict‘ (tegas). Dia tahu kita jaga semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama PMX bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang sempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di Batu Pahat hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Komunikasi PH yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau tidak gentar dengan tekanan politik itu kerana prinsip pentadbirannya jelas, iaitu memastikan pemimpin tidak menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan tanah, projek, saham atau kekayaan peribadi.

Sementara itu, Anwar turut mempertahankan kerjasama PH dengan DAP dengan menekankan bahawa sepanjang beliau menerajui kerajaan, wakil DAP dalam Kabinet tidak pernah menentang program berkaitan Melayu dan Islam.

“Saya dah tiga tahun setengah sebagai Perdana Menteri, belum sekali Kabinet daripada DAP menentang program untuk Melayu ataupun Islam. Boleh semak rekod,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menzahirkan rasa terharu dengan sambutan penyokong PH di Senggarang yang disifatkannya luar biasa kerana sanggup menunggu dalam cuaca panas bagi mengikuti program berkenaan.

“Senggarang ini luar biasa semangatnya. Tengah panas pun boleh tunggu. Jarang ceramah saya orang tengah panas semangat begitu luar biasa,” kata beliau sambil menyeru pengundi di kawasan Senggarang, Rengit dan Penggaram supaya memberi sokongan padu kepada calon PH pada PRN kali ini.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img