Laporan penuh kes letupan bom tangan diserah pertengahan bulan ini

LAPORAN penuh siasatan berhubung insiden letupan bom tangan yang mengorbankan dua anggota tentera di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah dijangka diserahkan kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) pada pertengahan bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh siasatan sebelum menentukan sebarang tindakan lanjut.

“Saya difahamkan laporan itu akan diserahkan pada pertengahan bulan ini. Insya-Allah dan saya akan laporkan,” katanya selepas menghadiri Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (Pikat) di Masjid Jamek Al-Faizin, Felda Air Tawar 2, di Kota Tinggi hari ini.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terkini kes letupan bom tangan di Gurun pada bulan lalu.

Mengulas sama ada prosedur operasi standard (SOP) latihan sedia ada perlu dikaji semula, Mohamed Khaled berkata, pihaknya turut mengarahkan Tentera Darat Malaysia (TDM) menilai semula pendekatan latihan dilaksanakan susulan dua insiden letupan yang berlaku di kem sama.

“Kita sudah minta supaya pihak TDM untuk menilai kembali pendekatan latihan yang dilakukan termasuk insiden kedua yang berlaku di kem sama.

“Kita perlu lihat sama ada, ada apa-apa kelemahan lain dan sebagainya.

“Semua ini hanya akan kita buat keputusan selepas terima segala (hasil) siasatan,” katanya.

Pada 16 Jun lalu, dua anggota TDM maut dalam kejadian letupan bom tangan ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart.

Polis kemudian melengkapkan siasatan kes itu sebelum menyerahkannya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tindakan dan siasatan lanjut.

Selang dua minggu, satu lagi insiden berlaku pada 29 Jun lalu sehingga menyebabkan dua anggota tentera cedera di bahagian kaki ketika menjalani latihan menembak di kem yang sama.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img