KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) menerima permohonan daripada syarikat pembekal peluru berpandu antikapal (NSM) Norway untuk mengadakan perbincangan berhubung isu tuntutan RM1.06 bilion ekoran pembatalan perolehan peluru berpandu berkenaan untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian itu bagaimanapun tidak mahu sebarang perbincangan dijadikan alasan atau taktik untuk melengah-lengahkan proses tuntutan yang sedang dilaksanakan.
“Pihak syarikat ada memohon untuk berbincang dengan kita. Tapi, walaupun kita kata boleh berbincang, kita tidak mahu ia dijadikan sebagai satu taktik untuk melengah-lengahkan proses tuntutan yang dibuat sebelum ini.
“Kita sentiasa sedar dan berwaspada jika ada apa-apa taktik sedemikian yang digunakan supaya kita tidak terperangkap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (Pikat) di Felda Air Tawar 2 di Kota Tinggi hari ini.
Kerajaan Norway sebelum ini dilaporkan membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM itu berserta sistem pelancarnya atas faktor keselamatan.
Menurut laman sesawang syarikat Kongsberg Defence and Aerospace (KDA), perolehan peluru berpandu NSM dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.
Susulan itu, Malaysia menuntut RM1.06 bilion daripada syarikat KDA ekoran pembatalan NSM yang merangkumi tuntutan langsung sebanyak EUR129.86 juta (RM604 juta), iaitu bayaran yang sudah dibuat oleh kerajaan.
Beliau berkata, tuntutan tidak langsung adalah sebanyak EUR96.26 juta (RM448.12 juta), yang membabitkan implikasi kos dan kesan sampingan akibat kegagalan pembekalan sistem peluru berpandu berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, pasukan penilai yang terdiri daripada pegawai TLDM telah ditubuhkan bagi mengenal pasti sistem peluru berpandu terbaik dari empat negara bagi menggantikan sistem NSM buatan syarikat KDA daripada Norway.
“Ya … sedang dibuat dan kita memang nak supaya dapat dievaluasi segera,” katanya.
Pada 28 Jun lalu, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, Mindef mengenal pasti empat negara berpotensi membekalkan sistem NSM untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) susulan pembatalan perolehan oleh Norway.
Beliau berkata, proses pemilihan itu tidak hanya tertumpu kepada spesifikasi asas, sebaliknya turut mengambil kira kriteria utama bagi memastikan sistem yang dipilih benar-benar memenuhi keperluan operasi TLDM.
Beliau berkata, negara yang menjadi pertimbangan adalah Turkiye dan Korea Selatan, selain dua lagi di Eropah.






