SEBUAH rumah apartment di tingkat tiga di Rampai Court Apartment, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur musnah sepenuhnya dalam kebakaran malam tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terbabit.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi Sistem NG999 berhubung kejadian itu pada jam 9.44 malam sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dengan bantuan BBP Setapak dan BBP Keramat ke lokasi.
Komander Operasi, TPgB II (KUP) Letchumanan Mariappen berkata, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah unit rumah apartment di tingkat tiga.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah serangan secara offensive dan defensive sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.20 malam.
“Kebakaran membabitkan sebuah unit rumah berkeluasan kira-kira 20 x 60 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan 100 peratus.
“Operasi membabitkan seramai 21 anggota bersama lima jentera, terdiri daripada tiga Fire Rescue Tender (FRT) dan dua Emergency Medical Rescue Services (EMRS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.






