SEBUAH bilik sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) di bangunan Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur terbakar pagi ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 7.32 pagi berhubung kejadian itu.
Menurut kenyataan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul bersama bantuan BBP Titiwangsa segera digerakkan ke lokasi dengan kekuatan 17 anggota.
“Operasi turut membabitkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS),” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK 1) S Thirugaiyah, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.41 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah bilik UPS Backup Battery di tingkat tiga bangunan berkenaan.
“Tindakan pantas anggota bomba berjaya memadam kebakaran dan api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 7.46 pagi.
“Kebakaran membabitkan keluasan kira-kira 5×5 kaki persegi dengan kemusnahan dianggarkan 40 peratus,” kata kenyataan itu lagi.
Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.


