BEKAS Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tampil sebagai saksi pendakwaan ke-11 dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Tengku Zafrul, 53, yang juga Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 8.30 pagi sebelum memberi keterangan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.
Muhyiddin, 78, yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti Bersatu berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa memperoleh suapan itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut menghadapi tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya serta Kuala Lumpur antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.





