Pemandu BMW bakal didakwa bunuh penunggang motosikal

PEMANDU kereta BMW yang dipercayai melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, awal pagi semalam, bakal didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, arahan itu dikeluarkan oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) selepas meneliti hasil siasatan polis.

“Dimaklumkan bahawa pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) telah mengarahkan supaya orang kena tuduh (OKT) dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, OKT telah dibawa ke Mahkamah Majistret Dang Wangi pagi ini bagi tujuan permohonan reman sementara menunggu proses pertuduhan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebarang perkembangan lanjut berhubung kes itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi semalam, mangsa, lelaki berusia 29 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 135LC di lorong kiri Jalan Tun Razak berhampiran Bangunan TH Selborn menghala ke Bulatan Pahang, meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah BMW.

Mohd Zamzuri dalam kenyataan malam tadi berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur.

“Pemandu BMW terbabit dilaporkan melarikan diri tanpa berhenti memberikan bantuan kepada mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut, polis berjaya mengesan kenderaan yang dipercayai terbabit dan mendapati ia adalah kenderaan sambung bayar yang digunakan ketika kejadian.

“Suspek, lelaki tempatan berusia 30 tahun, kemudian tampil secara sukarela di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada jam 6.30 petang semalam sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian pernafasan alkohol dan saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img