SEORANG murid sekolah menengah cedera selepas dipercayai ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting, hari ini.
Kejadian yang dipercayai berlaku ketika waktu persekolahan itu turut tular di Threads yang memaparkan sekumpulan murid bertempiaran lari, manakala seorang murid perempuan dipercayai memegang sebilah pisau.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Ya, kejadian berlaku. Saya akan keluarkan kenyataan awal bagi mengesahkan insiden itu. Mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Polis dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu selepas siasatan lanjut selesai dijalankan.






