PERKENALAN singkat selama tiga hari membawa padah apabila seorang remaja perempuan bawah umur dipercayai dirogol oleh lelaki yang baru dikenalinya di sebuah kawasan kebun dekat Gemas, Tampin semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, suspek yang berusia 35 tahun dipercayai membawa mangsa menggunakan motosikal sebelum merogolnya.
“Kira-kira jam 1.45 tengah hari semalam, pihak polis menerima satu laporan berkaitan seorang remaja perempuan bawah umur dikatakan dirogol seorang lelaki yang dikenali di sebuah pondok kawasan Gemas.
“Suspek dipercayai mengambil mangsa di rumahnya di Gemas dengan menaiki motosikal kira-kira jam 4 pagi semalam lalu membawa mangsa sehingga ke kawasan kebun dan merogol mangsa di sebuah pondok,” katanya.
Amiruddien berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dan mangsa yang berusia 16 tahun serta tidak bersekolah itu baru berkenalan selama tiga hari lalu.
Menurutnya, bertindak atas maklumat pada jam 8.45 malam tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tampin berjaya menangkap suspek di rumahnya di Gemas.
“Suspek seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun dan tidak bekerja. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Permohonan reman ke atas suspek diperolehi selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 12 Jun depan bagi membantu siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini dimohon tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ameer Amzar,Bilik Gerakan Daerah Tampin di talian hotline 06-4431999 atau mana-mana balai polis berhampiran.






