SEORANG murid perempuan ditahan polis selepas dipercayai menikam rakan sekolahnya dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa yang juga murid perempuan mengalami kecederaan akibat ditikam menggunakan sebilah pisau dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Banting dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita tempatan yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
“Pengadu memaklumkan terdapat seorang murid perempuan cedera di dalam kawasan sekolah.
“Sepasukan polis kemudian bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditikam oleh seorang lagi murid perempuan menggunakan sebilah pisau.
“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala mangsa kini dirawat di Hospital Banting dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.





