SEORANG bapa tidak menyangka panggilan bertalu-talu daripada guru sekolah menjadi petanda anaknya menjadi mangsa serangan tikaman dalam kawasan sekolah, sehingga mengalami kecederaan serius termasuk pada paru-paru kiri.
Mangsa berusia 15 tahun kini menerima rawatan di Hospital Banting selepas dipercayai ditikam seorang murid lain dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting, hari ini.
Bapanya, Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata, anaknya masih sedar dan mampu bercakap ketika dia tiba di hospital sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, doktor memaklumkan anaknya mengalami beberapa kecederaan termasuk pada paru-paru kiri dan terpaksa menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti tahap kecederaan dialami.
“Semasa saya sampai, keadaannya agak teruk. Tidak lama kemudian mereka membawanya menjalani imbasan.
“Paru-paru kirinya tercedera. Dia sedar dan masih boleh bercakap,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Mohd Firuz mendakwa anaknya mengalami kira-kira 14 hingga 16 kesan tikaman, kebanyakannya pada bahagian belakang badan selain mengalami kecederaan pada muka dan kepala.
Beliau berkata, mangsa mengenali suspek berusia 15 tahun kerana mereka pernah belajar dalam kelas yang sama pada tahun lalu.
“Mereka memang saling mengenali kerana pernah menjadi rakan sekelas,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya anaknya bukan sasaran utama serangan berkenaan.
“Saya rasa anak saya bukan sasaran. Mungkin dia (suspek) mahu target (menyerang) orang lain, tetapi anak saya kebetulan berada paling dekat dengannya.
“Mungkin juga kerana badan anak saya agak besar, dia tidak sempat melarikan diri,” katanya.
Mengimbau detik dimaklumkan mengenai kejadian itu, Mohd Firuz berkata, ketika itu dia sedang bekerja menyusun barang sebelum menyedari terdapat beberapa panggilan tidak dijawab pada telefon bimbitnya.
“Saya nampak guru sekolah ada menelefon. Apabila saya hubungi semula, barulah saya tahu anak saya ditikam.
“Pada mulanya saya sangka dia demam atau jatuh sakit. Memang saya terkejut apabila dimaklumkan perkara sebenar,” katanya.
Beliau berkata, doktor kini sedang berusaha mengeluarkan darah daripada paru-paru kiri anaknya yang mengalami kecederaan akibat tikaman itu.
Mohd Firuz yang mempunyai tiga cahaya mata berkata, anak keduanya itu bersekolah di sekolah berkenaan sejak tiga tahun lalu dan tidak pernah mengadu mempunyai masalah atau diganggu mana-mana pelajar sebelum ini.
Mengulas aspek keselamatan sekolah, beliau berpendapat kawalan perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Selepas apa yang berlaku hari ini, saya rasa aspek keselamatan perlu diperketatkan.
“Perlu ada pemeriksaan yang lebih teliti di pintu masuk sebelum sesiapa dibenarkan memasuki kawasan sekolah,” katanya.
Walaupun masih bersedih dengan kejadian menimpa anaknya, beliau berkata fokus utama keluarga ketika ini adalah memastikan remaja itu pulih sepenuhnya.
“Sudah tentu saya sedih dan kesal dengan apa yang berlaku, tetapi perkara sudah berlaku. Sekarang kami hanya berharap dia segera sembuh,” katanya.






