DATUK Seri Anwar Ibrahim tidak bercadang menghubungi Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong untuk meminta kelonggaran kepada rakyat Malaysia pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini.
Perdana Menteri berkata, hubungan Malaysia dengan Singapura sangat baik dan ini membantu membangunkan kedua-dua negara.
“Saya selalunya tidak minta negara lain campur urusan (Malaysia), termasuk pengundian di negara kita,” katanya.
Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sama ada beliau akan menghubungi rakan sejawatannya di Singapura supaya rakyat Malaysia di negara itu dibenarkan pulang mengundi Sabtu ini.
Anwar bagaimanapun berkata, syarikat di Singapura sudah dimaklumkan mengenai PRN Johor dan diminta memberi kelonggaran kepada pekerja dari Malaysia pulang mengundi pada Sabtu ini.
Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, cadangan hari mengundi PRN Johor diadakan pada Ahad hanya pandangan peribadinya, bukan campur tangan terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Jelasnya, sebagai badan bebas, SPR berhak membuat keputusan sendiri.
“Yang bekerja di Singapura ramai. Sabtu ramai kerja sekerat hari. Sebaiknya Ahad. Pandangan peribadi saya kurang setuju kerana saya rasa apa juga harus dilakukan untuk galakkan orang mengundi. Teguran itu bukan campur tangan. Kalau campur tangan, lain keadaannya,” jelasnya.
Anwar pada Ahad lalu dalam ceramah mega PH di Ledang mempersoalkan tarikh PRN Johor pada pertengahan bulan yang berisiko menyukarkan pengundi luar negeri atau negara pulang mengundi.
Peratusan keluar mengundi pada PRN lazimnya rendah, justeru beliau menyeru penyokong dan pengundi PH di luar Johor, termasuk Singapura supaya pulang mengundi.






