TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar tiga kenderaan milik isteri aktivis dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM80,000, Mac lalu.
Bagaimanapun, pemandu trak tunda, A. Kumaran, 34; pengawal keselamatan, S. Kisshen Nair, 32; dan pemandu lori, P. Surendran, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd. Nor.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan api terhadap dua buah kereta jenis Perodua dan sebuah kereta Proton milik M. Sri Uma Mahesvary, 50.
Perbuatan itu didakwa mengakibatkan kerugian dianggarkan RM80,000 dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi pada 10 Mac lalu di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan dilakukan adalah serius dan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, beliau memohon sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, setiap tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 selain syarat tambahan melapor diri di balai polis, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Vinesh Segar yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya masing-masing mempunyai tanggungan keluarga selain memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta mematuhi semua syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Sebelum ini, media melaporkan polis membuka dua kertas siasatan berhubung insiden khianat dan ugutan jenayah membabitkan aktivis dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ yang berlaku di kawasan perumahan berkenaan.






