RM450 juta biayai baik pulih, bina rumah bagi petugas Felda – PM

KERAJAAN hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM450 juta bagi membiayai kerja membaik pulih dan pembinaan rumah baharu bagi petugas Felda di tanah rancangan di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyediaan kediaman yang lebih selesa kepada petugas Felda penting bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada warga peneroka.

“Saya umumkan peruntukan besar berjumlah RM450 juta untuk membiayai baik pulih dan bina rumah baharu rumah petugas Felda di tanah rancangan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di Maran hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Perdana Menteri turut mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta bagi mempercepat pelaksanaan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), termasuk menyiapkan projek yang tertangguh.

Menurut Anwar, kelulusan itu membuktikan komitmen kerajaan bukan sekadar mengumumkan dasar, sebaliknya memastikan projek yang memberi manfaat kepada generasi baharu Felda dapat dilaksanakan dengan segera.

“Dengan ini, bagi menyiapkan projek perumahan Generasi Baharu Felda, saya luluskan segera peruntukan tambahan RM150 juta. Hari ini saya tidak mahu umum dasar, saya mahu umum projek yang berjalan, bahawa kerajaan ini melaksanakan janji,” katanya.

Perdana Menteri berkata projek PGBF yang bermula pada 2013 melibatkan 43 tapak dengan keseluruhan 8,224 unit rumah di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak.

Anwar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,458 unit di 12 tapak atau 29.8 peratus telah siap dan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), manakala 2,546 unit di 13 tapak lagi sedang dalam pembinaan.

Menurut beliau, beberapa projek disasarkan siap secara berfasa sepanjang tahun ini, antaranya di Bersai, Perak (102 unit), Sungai Koyan, Pahang (68 unit) dan Pasoh, Negeri Sembilan (70 unit).

Katanya, projek lain yang akan diteruskan termasuk di Sungai Koyan, Pahang (89 unit), Maokil, Johor (540 unit), Bukit Jalor, Negeri Sembilan (239 unit), Sungai Tekam, Pahang (100 unit) dan Papan Timur, Johor (539 unit), diikuti projek di Kerteh, Terengganu (110 unit).

Perdana Menteri turut mengarahkan pihak pengurusan Felda meneliti kelewatan pelaksanaan projek dan mengemukakan laporan lengkap dalam tempoh dua bulan bagi mengenal pasti punca serta langkah penyelesaian.

Selain itu, beliau mengumumkan kerajaan memberi kelulusan serta-merta bagi membolehkan kira-kira 8,000 unit rumah yang telah siap dibina menikmati sambungan utiliti asas seperti bekalan elektrik dan air.

Perdana Menteri berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diarahkan mempercepat pemasangan bekalan elektrik ke semua unit terbabit, manakala kerajaan negeri akan menyelaras penyediaan bekalan air.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan tambahan RM20 juta bagi Projek Sentuhan Kasih Felda untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan generasi baharu Felda.

Beliau berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi melaksanakan dua projek di Laka Selatan, Kedah yang melibatkan 86 unit rumah dan Palong, Negeri Sembilan (16 unit).

“Untuk kebajikan dan kesejahteraan generasi baharu Felda, saya luluskan tambahan RM20 juta bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut memaklumkan kerajaan akan meminda Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 bagi membolehkan lebih daripada sebuah rumah dibina di atas satu lot kediaman di tanah rancangan Felda.

Beliau berkata, pindaan itu merupakan antara lima inisiatif strategik kerajaan bagi menyelesaikan isu perumahan generasi baharu Felda yang telah berlarutan sekian lama.

“Saya telah mengarahkan Felda menyiapkan draf pindaan itu dalam tempoh dua bulan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Parlimen tahun ini juga,” jelas Anwar.

 

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img