Polis tumpas sindiket edar cecair dadah Furanylfentanyl RM34.31 juta

POLIS menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga individu termasuk seorang wanita warga Thailand serta merampas katrij mengandungi cecair dadah disyaki jenis Furanylfentanyl bernilai keseluruhan RM34.31 juta dalam tiga serbuan berasingan di Perlis.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, semua suspek berusia antara 38 hingga 68 tahun ditahan menerusi operasi yang dijalankan antara 1 hingga 3 Julai lalu.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di Kampung Panggas pada 1 Julai lalu membabitkan penahanan seorang wanita warga Thailand.

“Hasil pemeriksaan di sebuah stor penyimpanan barang menemukan 172 kotak mengandungi 75,540 katrij cecair dadah disyaki jenis Furanylfentanyl dengan isipadu 188.85 liter yang dianggarkan bernilai RM28.33 juta,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu membawa kepada serbuan kedua pada keesokan harinya di Kampung Guar Musang, Bukit Keteri yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun.

Katanya, polis turut merampas 35 kotak mengandungi 21,000 katrij cecair dadah sama yang dianggarkan bernilai RM5.98 juta.

“Tangkapan susulan dijalankan pada 3 Julai di sekitar Ulu Pauh, Arau dan berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 55 tahun yang dipercayai turut terbabit dengan sindiket sama.

“Siasatan mendapati sindiket menggunakan stor penyimpanan barang dan rumah kediaman sebagai lokasi transit sebelum bekalan dadah dihantar ke negara jiran,” katanya.

Muhammad berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 228.75 liter cecair dadah yang dianggarkan mampu disalah guna oleh kira-kira 457,500 penagih.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati hanya suspek ketiga positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

“Semakan turut mendapati suspek kedua dan ketiga mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img