AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tidak termasuk dalam senarai pengampunan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berdasarkan semakan di laman sesawang Jabatan Kehakiman (DOJ).
Perkembangan itu menamatkan spekulasi media bahawa Jho Low mungkin diberikan pengampunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-250 Amerika Syarikat pada 4 Julai.
Semakan di laman sesawang DOJ hari ini mendapati setakat 3 Julai, Jho Low yang masih gagal dikesan tidak termasuk dalam kalangan individu yang diberikan pengampunan.
Jho Low berdepan pelbagai pertuduhan termasuk rasuah dan pengubahan wang haram di AS serta Malaysia susulan dakwaan terbabit dalam penyelewengan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.3 bilion) daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku.
Minggu lalu, organisasi media AS, The Atlantic, melaporkan, Jho Low mungkin antara 250 individu yang dipertimbangkan Trump untuk diberikan pengampunan, manakala The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan beliau mengemukakan permohonan pengampunan pada Mei lalu bagi menggugurkan pertuduhan jenayah yang dihadapinya di AS.
Sementara itu, peguam Datuk Sankara Nair menyifatkan keputusan Trump tidak memberikan pengampunan kepada Jho Low sebagai perkembangan yang baik demi menegakkan keadilan.
“Pengampunan Presiden adalah kuasa luar biasa eksekutif dan tidak sepatutnya dilihat sebagai jalan untuk melindungi seorang individu dalam buruan daripada menjawab tuduhan jenayah serius di mahkamah.
“Kedaulatan undang-undang menuntut setiap individu, tanpa mengira kekayaan, pengaruh atau profil antarabangsa, dipertanggungjawabkan melalui proses kehakiman yang sewajarnya,” katanya, lapor NST.
Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Salim Bashir pula berkata, pengecualian Jho Low daripada senarai pengampunan Trump merupakan perkembangan positif kepada kedaulatan undang-undang dan prinsip akauntabiliti.
“Keputusan itu mengembalikan keyakinan terhadap kedaulatan undang-undang dan keadilan kerana Jho Low masih berdepan kemungkinan didakwa di mahkamah persekutuan AS berhubung dakwaan terbabit dalam skandal yang menggegarkan dunia kewangan,” katanya.





