49 didakwa terlibat sindiket penipuan pelaburan dalam talian

SERAMAI 49 daripada 57 individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Labuan hari ini atas pertuduhan pindaan berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari Korea Selatan, bulan lepas.

Pertuduhan pindaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan konspirasi jenayah, menggantikan pertuduhan asal di bawah Seksyen 120B(2) kanun yang sama, iaitu melakukan pakatan jahat jenayah dengan memperdaya mangsa untuk melabur dalam skim pelaburan.

Kesemua 49 tertuduh, terdiri daripada 48 warga China dan seorang rakyat Malaysia, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Melissa Chia.

Sementara itu, lapan warga Vietnam sebelum ini mengaku bersalah terhadap pertuduhan asal mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan.

Kesemua tertuduh didakwa terbabit dalam konspirasi jenayah berkaitan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan warga Korea Selatan menerusi aplikasi KnowChat dan Telegram.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan semula kes, manakala perbicaraan dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 27 Nov ini.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan kepada Zen Chuizen dan Xu Mutao, manakala enam lagi tertuduh sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan, menjadikan keseluruhan lapan tertuduh diberikan ikat jamin.

Baki 41 tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Yousuf Tahir Mahmood.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi polis di sebuah premis di Jalan Dewan di sini pada kira-kira 8.40 pagi, 1 Jun lepas.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img