SUASANA pemakaman pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei diselubungi laungan kemarahan apabila sebahagian rakyat negara itu menggesa tindakan balas terhadap Amerika Syarikat (AS), termasuk melaungkan `kami tidak mahu perjanjian, kami mahukan kepala Trump!’.
Laungan itu kedengaran ketika ribuan rakyat Iran menyertai perarakan pengebumian Khamenei di Teheran pada Isnin, selepas beliau terbunuh dalam serangan bersama Israel dan AS pada 28 Februari lalu.

Kematian Khamenei yang disifatkan sebagai syahid oleh pihak berkuasa Iran dilihat mencetuskan gelombang emosi dalam kalangan penyokong kerajaan, dengan sebahagian peserta menolak rundingan antara Tehran dan Washington.
Seorang peserta, Gholamreza Khanbabai, 58, yang turut menghadiri pemakaman pemimpin tertinggi Iran terdahulu, Ayatollah Ruhollah Khomeini pada 1989, menyifatkan sambutan kali ini lebih penuh semangat.
“Ketika itu rakyat turut bersedih dan bersemangat memberi penghormatan, namun kali ini suasananya kelihatan lebih kuat,” katanya.
Pemakaman Khomeini pada 1989 merupakan antara perhimpunan terbesar dalam sejarah Iran apabila agensi berita rasmi IRNA melaporkan kira-kira 10 juta orang hadir memberi penghormatan terakhir.
Bagaimanapun, acara itu bertukar kecoh apabila orang ramai membanjiri kenderaan membawa jenazah Khomeini hingga kain kafannya koyak dan jenazahnya terjatuh. Insiden rempuhan turut menyebabkan lebih 10 orang maut dan ribuan lagi cedera.
Pemakaman Khamenei turut dilihat sebagai peluang bagi kerajaan Iran menunjukkan kesatuan dalaman selepas konflik selama lebih lima bulan dengan AS dan Israel.
Serangan yang mengorbankan Khamenei bersama beberapa pegawai kanan Iran itu berlaku selepas ketegangan serantau meningkat, termasuk tindakan ketenteraan antara Tehran, Washington dan Tel Aviv.
Bagaimanapun, sebahagian peserta pemakaman menyatakan mereka tidak yakin dengan rundingan antara Iran dan AS yang membawa kepada memorandum persefahaman antara kedua-dua negara bulan lalu.
Seorang peserta yang hanya dikenali sebagai Kazemi, 65, berkata, Iran memerlukan tindakan balas bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
“Kami mahukan balas dendam kerana jika tiada tindakan diambil, keadaan akan menjadi lebih buruk,” katanya.
Seorang lagi peserta, Ali Heydari, 50, menyifatkan perjanjian dengan AS sebagai sesuatu yang tidak bermakna selepas kematian Khamenei.
“Apa maksud memorandum persefahaman itu? Kami tidak mempunyai keamanan atau persahabatan dengan pihak yang membunuh pemimpin kami,” katanya.
Ribuan rakyat Iran mula memenuhi kawasan tengah Tehran sejak awal pagi Isnin bagi memberi penghormatan terakhir kepada Khamenei.
Walaupun jumlah rasmi kehadiran belum diumumkan, media tempatan menyifatkan jumlah itu antara yang terbesar sejak pemakaman komander kanan Pengawal Revolusi Iran, Qasem Soleimani pada 2020 yang menurut angka rasmi menarik kira-kira tujuh juta orang.
Pemakaman Khamenei dijangka menjadi simbol kekuatan politik Iran ketika negara itu berdepan tekanan antarabangsa dan ketegangan berterusan dengan AS serta sekutunya.






