SEORANG mekanik direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dan samun membabitkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ketika berjoging di Palekbang, Tumpat, bulan lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 24 tahun itu dikeluarkan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi di Mahkamah Majistret Tumpat hari ini.
Tempoh reman bermula hari ini hingga 14 Julai bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.
Terdahulu, suspek yang memakai baju berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 10 pagi bagi proses permohonan reman.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun menjadi mangsa rogol dan samun ketika keluar berjoging bersama adik lelakinya di kawasan Palekbang pada cuti Awal Muharam, 17 Jun lalu.
Mangsa kemudian ditemui orang awam dalam keadaan cedera berhampiran kawasan semak kira-kira jam 11 pagi sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.




