POLIS giat mengesan sekumpulan lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di sebuah kafe di Bandar Sunway, Subang Jaya pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.16 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dengan sekumpulan lelaki yang berada di lokasi sebelum insiden berkenaan tercetus.
“Akibat kejadian itu, tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di hospital.
“Polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, merakam percakapan saksi serta memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, usaha mengesan dan menahan semua suspek yang terbabit sedang giat dijalankan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata atau apa-apa objek yang digunakan sebagai senjata.
Wan Azlan turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan sikap toleransi, mengawal emosi serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan pergaduhan atau mengganggu ketenteraman awam.
Beliau berkata, orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan berhubung kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta tidak menjejaskan siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Bandar Sunway di talian 03-5621 2222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222,” katanya.






