SEORANG wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, atas dua pertuduhan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 berkaitan kes pengabaian puluhan kucing yang sebelum ini mencetuskan kecaman orang ramai.
Kes berkenaan mendapat perhatian meluas selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor menemukan puluhan bangkai kucing serta haiwan yang masih hidup dalam keadaan menyedihkan di sebuah unit pangsapuri di Subang Jaya pada April lalu.
Tertuduh, Lee Reo Jin, 49, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor.
Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didakwa meninggalkan 36 ekor kucing hidup dalam keadaan yang boleh menyebabkan haiwan berkenaan mengalami kesakitan akibat kebuluran.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh selaku pemilik didakwa menyebabkan 41 ekor kucing gagal memperoleh keperluan asas untuk terus hidup.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Subang Jaya pada Mac lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPV Selangor, Mohd Sharif Sabran memohon jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia selepas mengambil kira tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap kerana bekerja secara bebas.
Mahkamah turut mengarahkan pasport tertuduh diserahkan dan menetapkan 7 Ogos ini untuk serahan dokumen serta pelantikan peguam.






