TINDAKAN seorang pemandu memotong kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tanpa menyedari kereta dipandunya melakukan pelbagai kesalahan mengundang padah apabila Volvo mewah itu disita dalam Ops Luxury di Sidam, Kedah semalam.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemeriksaan mendapati kenderaan mewah itu menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sudah tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
Beliau berkata, susulan itu Volvo berkenaan disita dan dibawa ke Stesen Penguatkuasaan JPJ Kuala Ketil untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemilik kenderaan diwajibkan memastikan cukai jalan dan perlindungan insurans sentiasa sah sebelum menggunakan kenderaan di jalan raya.
“Kegagalan mematuhi syarat ini bukan sahaja menyebabkan tindakan saman dan penyitaan diambil, malah pemilik perlu menanggung sendiri segala kerugian sekiranya berlaku kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi penguatkuasaan seperti Ops Luxury akan terus dilaksanakan secara berkala bagi mengesan pemilik kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya.
Katanya, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang mengabaikan aspek pematuhan undang-undang kerana ia membabitkan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak status cukai jalan dan insurans kenderaan masing-masing bagi mengelakkan dikenakan tindakan penguatkuasaan.






