CUBAAN seorang lelaki warga Pakistan meloloskan diri daripada pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) gagal apabila berjaya ditahan anggota penguat kuasa dalam operasi sekatan jalan raya di Kilometer 1, Kampung Sedim, Kulim semalam.
Lelaki terbabit yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikesan cuba melarikan diri sebaik ditahan untuk pemeriksaan sebelum berjaya diberkas hasil tindakan pantas anggota JPJ.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemeriksaan lanjut terhadap motosikal yang digunakan mendapati terdapat pelbagai pelanggaran undang-undang jalan raya.
Menurutnya, antara kesalahan dikesan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh selain tiada perlindungan insurans.
“Turut dikesan berlaku salah guna LKM, pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran serta beberapa kesalahan teknikal lain.
“Difahamkan, warga Pakistan yang memiliki permit kerja sebagai pekerja landskap itu turut disyaki menjalankan aktiviti perniagaan menggunakan motosikal berkenaan,” katanya, semalam.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, penunggang terbabit bertindak cuba melarikan diri bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan namun berjaya ditahan.
Susulan pelbagai kesalahan yang dikenal pasti, saman telah dikeluarkan manakala motosikal terbabit disita untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Stien berkata, JPJ akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya selain menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba mengelak tindakan atau melakukan pelanggaran peraturan jalan raya.






