BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman, meninggal dunia di kediamannya awal pagi tadi selepas sekian lama menghidap komplikasi penyakit kronik.
Allahyarham yang berusia 67 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.40 pagi dan turut dilaporkan menghidap diabetes.
Sepanjang karier politiknya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai selain memegang jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Ar-Rahman, Kubang Batang untuk disolatkan pada jam 11 pagi sebelum dikebumikan.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
Beliau berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada UMNO dan masyarakat khususnya di Kuala Krai.
“Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air, khususnya dalam memperjuangkan nasib masyarakat luar bandar serta memperkukuhkan perjuangan UMNO di Kuala Krai.
“Segala khidmat bakti, komitmen dan pengorbanan beliau akan terus dikenang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya serta menempatkan rohnya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.






