
SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menamakan tiga calon Perikatan Nasional (PN) daripada parti itu yang mempunyai kelayakan untuk menjadi Menteri Besar (MB) Johor sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.
Menurut beliau, mereka ialah Abdul Mutalip Abd Rahim yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang; Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (Parit Raja) dan Mohd Radzi Amin (Bukit Naning).
“Ramai yang berkelayakan, tapi mesti menang dalam pilihan raya sebelum kita nak putuskan soal Menteri Besar. Akhirnya kita kena rujuk Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.
“Cadangan itu mesti diangkat kepada Tuanku Sultan untuk mendapat perkenan kerana itu adalah Perlembagaan yang perlu kita junjung dan hormati,” katanya ketika ditemui media selepas Program Rapat Rakyat Layang-Layang Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Chokro, Kluang malam tadi.
Mohamed Azmin mendedahkan tiga nama calon itu selepas ditanya sama ada PN sudah mempunyai calon Menteri Besar sekiranya memenangi PRN Johor, dan beliau turut berharap Bersatu dapat memenangi kesemua 16 kerusi yang ditandingi dalam PRN kali ini.
“Kita tidak gelojoh atau tamak untuk bertanding banyak kerusi. Bila kita nak menentukan jumlahnya, mestilah ada strategi dan pelan strategik. Kita berasakan 16 kerusi ini antara kerusi yang dapat melonjakkan sokongan kepada Bersatu.
“Ia berdasarkan statistik, bukan sahaja dalam PRN 2022 yang lalu tetapi juga kita bandingkan dengan Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya sambil menambah walaupun PN bertanding 33 kerusi, mereka juga mempunyai kerjasama dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
“Kalau ditakdirkan ada sokongan rakyat yang positif dan besar, kita sudah boleh membentuk kerajaan disebabkan di Johor, kita memerlukan 29 kerusi untuk membentuk kerajaan.
“Sudah tentu kita akui masuk dalam PRN ini sebagai underdog kerana kita pembangkang,” katanya yang turut menolak tanggapan ketiadaan manifesto PN dalam PRN kali ini disebabkan pergaduhan membabitkan Bersatu dan Pas.
Sebaliknya, tegas Azmin, Bersatu dalam PRN kali ini sudah mengemukakan iltizam lebih realistik, yang menampilkan calon dengan komitmen bagi isu tempatan.
“Tidak timbul soal itu (gaduh dengan Pas). Kita sudah kemukakan iltizam, ini soal istilah. Ada pihak gunakan tekad, ada pihak guna manifesto. Kalau kita lihat situasi di Johor, oleh kerana ia negeri agak luas, masalahnya agak berbeza dari satu daerah ke satu daerah,” katanya.






