Kilang e-waste haram diserbu, rampasan RM2.57 juta

PASUKAN Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang membongkar kegiatan penyimpanan dan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) secara haram selepas menyerbu sebuah kilang di Teluk Panglima Garang, Shah Alam dan merampas pelbagai barangan bernilai RM2.57 juta, kelmarin.

Dalam operasi kira-kira jam 10.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang mengaku sebagai penjaga kilang ditahan bagi membantu siasatan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti penyimpanan dan pemprosesan sisa elektronik tanpa dokumen serta permit yang sah.

Beliau berkata, pasukan operasi turut menemukan pelbagai barangan elektronik terpakai, kabel tembaga, bateri, komponen lif, mesin mampatan serta sisa buangan berjadual yang disyaki diproses secara tidak sah.

“Ketika serbuan dijalankan, terdapat 14 pekerja warga asing berusia antara 23 hingga 53 tahun berada di dalam kilang berkenaan dan mereka turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jaffri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18, Seksyen 19 dan Seksyen 34 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Undang-Undang Kecil 3 Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Beliau berkata, kegiatan pemprosesan e-waste secara haram bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan awam jika tidak dikawal.

Katanya, PPM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan pemprosesan sisa elektronik secara haram di negara ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img