POLIS Selangor membongkar empat sindiket pengedaran dadah yang menjadikan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai laluan penyeludupan selepas merampas 116.2 kilogram bunga ganja bernilai RM13.34 juta.
Rampasan itu dilakukan menerusi empat serbuan berasingan di KLIA dan Kota Warisan, Sepang, sejak penghujung bulan lalu yang turut membawa kepada penahanan lima suspek termasuk dua warga asing.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA dengan kerjasama polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA pada penghujung Jun dan awal Julai lalu.
Menurutnya, serbuan pertama pada 29 Jun lalu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing dari sebuah negara di rantau Asia Tenggara selepas polis mengesan dua bagasi mencurigakan melalui mesin pengimbas di Terminal 1 KLIA.
“Hasil pemeriksaan menemukan 60 bungkusan plastik berisi ketulan mampat bunga ganja seberat 33.6 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.7 juta.
“Suspek ditahan di ruang menunggu pelepasan penerbangan sejurus bagasinya dikenal pasti mengandungi bahan terlarang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Shazeli berkata, pada hari sama, polis mengesan satu lagi bagasi mencurigakan di terminal berkenaan sebelum menahan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik bagasi tersebut.
Katanya, pemeriksaan menemukan 39 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat bunga ganja seberat 21.1 kilogram bernilai RM1.7 juta, manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Beliau berkata, serbuan ketiga pada 3 Julai lalu di kawasan parkir sebuah kondominium di Kota Warisan pula membawa kepada penahanan pasangan suami isteri warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan ke atas empat bagasi dan tiga beg plastik milik pasangan itu menemukan 146 bungkusan plastik berisi ketulan mampat bunga ganja seberat 76 kilogram bernilai RM6.1 juta.
“Polis turut menyita sebuah Perodua Alza bernilai RM20,000 yang dipercayai digunakan bagi aktiviti penghantaran dadah, manakala saringan air kencing mendapati suspek wanita positif dadah jenis THC,” katanya.
Menurut beliau, siasatan mendapati pasangan terbabit aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak dua tahun lalu.
Katanya, dalam serbuan keempat pada 4 Julai lalu, polis sekali lagi mengesan dua bagasi mencurigakan di Terminal 1 KLIA sebelum menahan seorang lelaki warga asing dari sebuah negara Eropah.
“Pemeriksaan menemukan 68 bungkusan plastik mengandungi bunga ganja seberat 35.5 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.84 juta.
“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya.
Shazeli berkata, semakan mendapati tiga suspek tempatan mempunyai antara satu hingga tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala kedua-dua warga asing tidak mempunyai rekod jenayah di negara ini.
Beliau berkata, semakan dokumen perjalanan turut mendapati kedua-dua warga asing memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
“Semua suspek direman selama tujuh hari sebelum tempoh reman disambung bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.






