SEORANG pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditempatkan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) susulan kelemahan tata kelola yang dikesan di agensi itu sehingga membuka ruang rasuah dan mengakibatkan kerugian sehingga puluhan juta ringgit dana rakyat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pelbagai permasalahan membabitkan tadbir urus yang baik perlu diperbetulkan di Perkeso susulan operasi tuntutan palsu bagi mendapatkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0.
Beliau turut mengesahkan, setakat ini penempatan pegawai di bawah program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) SPRM belum diwujudkan di pertubuhan itu.
“Setakat ini tidak ada (pegawai integriti) namun selepas ini, Perkeso ada minta selepas kes ini berbangkit untuk ditempatkan seorang pegawai integriti dan saya akan hantar seorang dengan segera,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Ditanya adakah tiada sebarang tindakan boleh dikenakan kepada mana-mana agensi kerajaan yang merugikan wang rakyat disebabkan kecuaian dan kelemahan tadbir urus, Abd Halim berkata, tindakan sedemikian adalah menjadi tanggungjawab agensi kerajaan itu sendiri.
“SPRM not in the position of Perkeso tetapi apa yang kita boleh lakukan adalah memberi khidmat nasihat sekiranya mereka tidak mempunyai tata kelola, tidak mempunyai prosedur, tidak mempunyai atur cara dan sebagainya, bagi meluluskan pinjaman.
“Maka SPRM akan hantar bahagian tata kelola ke Perkeso bagi membantu mereka menyediakan perkara berkaitan tata kelola,” katanya.
Dalam perkembangan itu, Abd Halim berkata, pihak akan mengesyorkan pertuduhan ke atas 69 kertas siasatan berkaitan dakwaan penyalahgunaan program insentif Daya Kerjaya 2.0, membabitkan individu, syarikat dan ejen yang dipercayai terbabit dalam skim berkenaan, selewat-lewatnya pada minggu pertama Ogos.
“Kita mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk mengesyorkan pendakwaan dalam kes berkenaan selepas siasatan dijalankan menerusi Op Daya.
“Namun dalam kes ini, fokus SPRM bukan sahaja untuk mendakwa pihak yang bertanggungjawab, malah memastikan kelemahan dalam Perkeso yang membolehkan penipuan itu berlaku ditangani bagi mengelakkan penyalahgunaan pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Abd Halim berkata, siasatan menerusi Op Daya mendapati antara tahun 2024 hingga 2025, sebanyak 143 syarikat dipercayai mengemukakan permohonan palsu kepada Perkeso bagi mendapatkan insentif di bawah program Daya Kerjaya 2.0 membabitkan tuntutan kira-kira RM9 juta untuk 320 pekerja.
Sehingga hari ini, SPRM sudah membuka 81 kertas siasatan di seluruh negara.
Selain 69 kes yang disyorkan untuk pendakwaan, enam kertas siasatan dirujuk kepada Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Tata Kelola bagi meneliti kelemahan sistem serta prosedur kerja, khususnya membabitkan proses bayaran balik, manakala lima kes disyorkan supaya tiada tindakan lanjut diambil dan satu lagi siasatan masih diteruskan bagi mengesan sasaran utama.
Bulan lalu, SPRM mengenal pasti 1,638 syarikat disyaki mengemukakan tuntutan palsu di bawah program insentif pekerjaan Daya Kerjaya 2.0, dengan anggaran kerugian mencecah RM45 juta.
Operasi penguatkuasaan SPRM di seluruh negara menerusi Op Daya telah membawa kepada 97 tangkapan sejak siasatan bermula pada 9 Jun lalu. Nilai keseluruhan yang dianggarkan terbabit adalah kira-kira RM45 juta.






