Bicara penuh kes saman 1MDB, 10 syarikat terhadap Rosmah mulai Jun 2027

KES saman difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 syarikat lain terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembelian barangan mewah berjumlah lebih AS$346 juta didakwa diperoleh daripada dana 1MDB yang diselewengkan, akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bermula 28 Jun 2027.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Rosmah berkata, pada prosiding pengurusan kes itu semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah menetapkan 28 Jun hingga 2 Julai, 5 Julai hingga 9 Julai dan 19 Julai hingga 30 Julai 2027.

“Mahkamah juga menetapkan 28 September ini untuk mendengar permohonan meminda writ saman dan permohonan injunksi Mareva,” kata peguam itu ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.

Injunksi Mareva adalah perintah sementara yang menghalang isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu daripada melupuskan aset berjumlah AS$346 juta sama ada dalam bentuk kredit, saham syarikat, hartanah atau lain-lain sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Saman yang difailkan pada 9 Mei 2024 itu melibatkan 1MDB dan lima anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited serta SRC International Sdn Bhd.

Lima lagi syarikat terlibat adalah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Kesemua plaintif memohon perintah mahkamah supaya Rosmah membayar sebanyak AS$346,010,489 atau jumlah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Mereka turut memohon pengisytiharan bahawa plaintif pertama hingga keenam adalah pemilik sah barangan mewah yang didakwa berada dalam milikan Rosmah.

Pada peringkat awal, saman itu menamakan Rosmah dan wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Bagaimanapun, pada April 2025, 1MDB bersama syarikat terbabit menarik balik saman terhadap Shabnam.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img