
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meminta media menunggu sehingga 14 Julai ini untuk mengetahui kerusi bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadual akan berlangsung pada 1 Ogos depan.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, setakat ini pihaknya belum dapat memberi gambaran sama ada mengekalkan kerusi disandangnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat atau berpindah ke kerusi lain.
“Setakat ini tiada apa-apa komen lagi, saya pun tidak tahu (sama ada kekal di kerusi DUN Sikamat). Desas-desus berpindah ke kerusi lain, setakat ini hanya ura-ura.
“Tunggu saja 14 Julai nanti apabila senarai calon PH diumumkan Presiden PKR yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu yang paling tepat sekali,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Geran Khas Kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata, Anwar akan mengumumkan senarai calon gabungan itu pada satu majlis di Kuala Pilah pada 14 Julai nanti.
Mengulas sesetengah individu yang memperkenalkan diri mereka sebagai calon PH, beliau berkata, ia terpulang kepada diri masing-masing, namun sebaiknya menunggu pengumuman rasmi pada minggu depan.
“Tunggu pengumuman akan dibuat nanti, buat masa ini semua jentera parti perlu bekerja keras ke arah mencapai kemenangan,” katanya.
Terdahulu, timbul desas-desus mengatakan Aminuddin akan bertanding di kerusi DUN Linggi pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Aminuddin menyampaikan geran khas keseluruhan berjumlah RM342,000 kepada 342 jawatankuasa KRT di seluruh negeri.
Beliau berkata, geran itu adalah manifestasi keyakinan kerajaan negeri terhadap keupayaan dan kredibiliti kepimpinan KRT merancang serta melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya berharap geran diterima ini dimanfaatkan dengan penuh amanah, berhemah dan telus. Gunakan setiap ringgit diperuntukkan untuk melaksanakan program yang mampu meninggalkan kesan positif kepada komuniti,” katanya.






