Op Chiller di Sabah: PGA rampas produk sejuk beku, aset bernilai RM24.15 juta

BRIGED Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas produk sejuk beku dan menyita pelbagai aset bernilai keseluruhan RM24.15 juta dalam Op Chiller yang dijalankan secara bersepadu di 11 daerah di Sabah, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi bermula dari jam 8 pagi hingga jam 6 petang itu dilaksanakan di Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu, Sook dan Sipitang.

Beliau berkata, operasi dikenali sebagai ‘Operasi Bersepadu Intra/Inter – Op Chiller Briged Sabah’ itu bertujuan mengesan dan membanteras aktiviti penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku.

“Operasi membabitkan 147 pegawai iaitu 78 pegawai dan anggota Briged Sabah PGA, 23 pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 23 pegawai Jabatan Veterinar, 16 pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tujuh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Sebanyak 14 serbuan dijalankan dan membawa kepada tangkapan 21 individu berusia antara 20 hingga 66 tahun terdiri daripada 19 warga tempatan iaitu 17 lelaki dan dua wanita serta dua lelaki warga asing. Kesemua yang ditahan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM24,152,652.25 membabitkan produk sejuk beku bernilai RM10,348,152.25 dan sitaan aset bernilai RM13,804,500.

Katanya, produk yang dirampas termasuk nuget, sosej, daging import, lamb shoulder, daging ayam, ikan, daging shabu-shabu dan organ dalaman lembu.

“Antara aset yang disita adalah 11 unit chiller pelbagai jenama berkapasiti 700 liter, 24 unit bilik sejuk (cold room) pelbagai saiz selain pelbagai kenderaan dan peralatan.

“Kes ini disiasat mengikut Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Undang-Undang Kecil Majlis Daerah Lahad Datu, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta peruntukan lain yang berkaitan,” katanya.

Mohd Yusri berkata, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Polis kekal komited membanteras aktiviti penyeludupan, penyimpanan dan pemprosesan produk sejuk beku serta kesalahan lain khususnya di Sabah,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img