BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 20 kotak ayam sejuk beku bernilai RM48,000 yang dipercayai diseludup dari Thailand selepas menahan sebuah lori di Lembah Sireh, di Kota Bharu semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan itu dilakukan selepas pasukan rondaan menahan lori berkenaan pada jam 9.30 malam yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dalam keadaan mencurigakan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah ayam sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk secara haram dari Thailand dan pemandu terbabit gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan serta pergerakan barang berkenaan.
“Siasatan awal mendapati bekalan makanan sejuk beku itu dipercayai akan dihantar ke kawasan berhampiran stesen bas Kota Bharu sebelum diagihkan kepada pelanggan mengikut tempahan.
“Jumlah nilai rampasan (jualan) dianggarkan RM198,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau mengangkut barang larangan yang diseludup.






