Hantaran menghasut: Chegubard didenda RM5,000, tidak layak bertanding PRN Negeri Sembilan

AKTIVIS politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, hilang kelayakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, hukuman denda itu menyebabkan Chegubard hilang kelayakan sebagai calon pilihan raya berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

MUHAMMAD Rafique Rashid Ali bercakap kepada media selepas keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru ke atas anak guamnya, Chegubard diputuskan hari ini

Beliau berkata, pihak pembelaan menghormati keputusan yang dibuat mahkamah.

“Kita memohon supaya Chegubard tidak dikenakan hukuman penjara dan Alhamdulillah, mahkamah tidak menjatuhkan hukuman itu.

“Pada masa sama, kita turut memohon supaya jumlah denda tidak melebihi RM2,000 kerana mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, mana-mana individu yang dikenakan denda RM2,000 atau lebih akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Kita juga sudah memaklumkan secara terbuka kepada mahkamah bahawa pada 18 Julai ini, Chegubard diberikan amanah oleh Parti Wawasan Negara parti yang baru diterima menyertai Perikatan Nasional (PN), untuk bertanding dalam PRN Negeri Sembilan.

“Namun, dengan hukuman denda RM5,000 ini, Chegubard tidak lagi boleh bertanding. Itulah keputusan mahkamah dan kami akur serta menghormatinya,” katanya ketika ditemui selepas prosiding keputusan itu hari ini.

Muhammad Rafique berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu dalam masa terdekat.

“Saya berpendapat kami mempunyai asas yang kukuh untuk rayuan dan berharap doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar Chegubard berjaya dalam rayuan di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Chegubard, 48, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut dua tahun lalu.

Hakim Rasidah Roslee membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan Chegubard dipenjara selama 20 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan penerbitan menghasut menerusi media sosial kira-kira jam 6.30 petang pada 26 April lalu.

Menerusi hantaran itu, beliau didakwa mengaitkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dua individu yang didakwa sebagai taikun judi dengan projek kasino di Forest City.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

PRN Negeri Sembilan ke-16 ditetapkan dengan hari penamaan calon pada 18 Julai, manakala hari pengundian dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img