Kastam Selangor rampas dadah lebih RM500,000, cuba diseludup melalui kurier

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan penyeludupan pelbagai jenis dadah melalui kurier dengan rampasan keseluruhan berjumlah RM513,045 menerusi operasi berasingan pada April dan Jun lalu.

Pengarah JKDM Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, kes pertama membabitkan rampasan bunga ganja seberat 781 gram ketika pemeriksaan dijalankan ke atas satu kotak kurier import di sebuah pusat mel syarikat kurier di sekitar Sepang pada 14 April lalu.

“Bunga ganja berkenaan dianggarkan bernilai RM62,480 dan diikrarkan sebagai produk berasaskan beeswax untuk kegunaan pembuatan lilin, penjagaan badan, kulit, sabun dan losyen bagi mengelak dikesan oleh JKDM.

“Dagangan itu diimport dari sebuah negara di benua Amerika manakala alamat penerima atau konsaini adalah di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes kedua membabitkan rampasan dadah jenis syabu dan heroin seberat 8,965 gram dengan anggaran nilai RM448,250 menerusi pemeriksaan ke atas dua kotak palet kayu kurier eksport di bawah satu air way bill yang sama di sebuah pusat mel syarikat kurier, sekitar Sepang pada 24 April lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 14 bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki jenis syabu (methamphetamine) dan heroin yang disembunyikan di bawah kotak palet kayu tersebut.

“Dagangan berkenaan diikrarkan sebagai ‘Ceramic Wine Jar & Porcelain Vase’ bagi mengaburi pihak berkuasa serta mengelak dikesan oleh JKDM yang mana bungkusan tersebut dipercayai dari Kuala Lumpur dan dirancang untuk dieksport ke sebuah negara di benua Asia,” katanya.

Mohamad Azhar berkata, kes seterusnya membabitkan rampasan 100 biji pil erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM2,000 menerusi pemeriksaan ke atas satu bungkusan kurier domestik di sebuah pusat mel syarikat kurier, sekitar Subang Jaya pada 9 Jun lalu.

“Dadah berkenaan ditemukan dalam bentuk papan pil dan diletakkan bersama bungkusan makanan kering haiwan peliharaan dengan pengikraran sebagai kibbles bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Semakan mendapati bungkusan tersebut dihantar dari Kuala Lumpur dan dirancang untuk dihantar ke Kota Kinabalu, Sabah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img